Harian Metro: MyKorban sasar RM1.6 juta

 

Kuala Lumpur: Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), menyasarkan kutipan RM1.6 juta untuk melaksanakan ibadat korban, MyKorban di 14 negara bergolak seluruh dunia pada Hari Raya Aidiladha 1 hingga 4 September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, fokus sasaran penerima daging korban sumbangan peserta negara ini adalah dalam kalangan umat Islam minoriti yang ditindas dan pelarian.

Menurutnya, 14 negara berkenaan adalah Malaysia, Bangladesh, Filipina, Iraq, Kemboja, Lubnan, Myanmar, Palestin, Somalia, Sri Lanka, Sudan, Syria, Vietnam dan Myanmar.

“Program MyKorban yang memasuki tahun ke 19 pelaksanaannya ini menawarkan dua pakej korban lembu dan empat pakej korban kambing.

“Bagi korban lembu, Pakej A berharga RM1,500 (satu bahagian) untuk umat Islam di Palestin, Syria, Iraq, Lubnan dan Yaman, manakala bagi Pakej B berharga RM480 (satu bahagian) untuk ibadat korban di pelbagai lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program MyKorban anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) yang diuruskan MyCARE di pejabat MyCARE, semalam.

Untuk maklumat lanjut dan sumbangan program MyKorban, orang ramai boleh menyemak di www.mykorban.org atau hubungi 019-2276760.

Bayaran pula boleh dibuat ke akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad di nombor akaun 5642 5856 0698 (Maybank) atau 8602 135 592 (CIMB) dan 1209 2010 0349 04 (Bank Islam).

 

Rizanizam Abdul Hamid

Thailand: Kasih disubur, bot diluncur, bantuan dihulur

Sumber: IKRAM.org.my

Thailand: Kasih disubur, bot diluncur, bantuan dihulur

BANGKOK – Prihatin dengan nasib umat Islam yang dilanda banjir, Qurban Kasih Ummah telah melaksanakan korban 27 ekor lembu dan 20 ekor kambing pada pagi Aidiladha 1432H di perkarangan ibu pejabat World Assembly of Muslim Youth (WAMY) Thailand di sini.

Program korban ini dijayakan dengan usahasama Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Yayasan Pendidikan al-Quran Thailand, WAMY Thailand, Pertubuhan Kebajikan Pattani dan Islamic Relief Malaysia (IRM).Selain korban, Nusantara Islah Centre of Excellence (NICE) turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM21,000 melalui pelancaran Tabung Kasih Ummah untuk membantu umat Islam di Thailand.

Turut hadir ke program ini adalah Pengarah Qurban Kasih Ummah sendiri, Hj Tuan Yaacob Tuan Sof dan Presiden Yayasan Pendidikan al-Quran Thailand, Ustaz Muhammad Ismail. Menurut Tuan Yaacob, sumbangan korban untuk Thailand adalah paling banyak tahun ini berbanding 16 negara lain kerana kedaifan umat Islam di sini ditambah dengan keadaan banjir.

Program ini dijalankan secara bergotong-royong di mana para sukarelawan WAMY membantu kerja-kerja melapah lembu dan sukarelawan yang terdiri dari para ibu turut membantu memotong dan membungkus daging lembu. Tempat korban juga dibersihkan setelah kerja lapahan selesai.

Daging lembu qurban yang siap dibungkus untuk diagihkan ke beberapa kawasan di Bangkok. Setiap darinya ada 2 kg dan 5 kg setiap pek. Pada sebelah malam, sumbangan diagihkan ke wilayah Tha’it. Rumah-rumah di wilayah ini telah ditenggelami air hampir dua bulan yang lalu.

Semasa agihan melalui Thait menggunakan bot, konvoi bantuan Qurban Kasih Ummah turut tersentuh hati ini melihat seorang anak berakit menggunakan tong air untuk mengambil ibunya di rumah pada malam hari di mana si anak memujuk ibunya supaya berpindah ke tempat yang lebih selamat. Mereka mengharungi ujian Allah ini dengan begitu tabah.

Sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin ini telah disampaikan kepada 800 keluarga di wilayah Tha’it. Sumbangan berbentuk makanan kering dan daging korban. Kandungan makanan kering yang diagihkan adalah beras, sardin, minyak masak, mi segera, air mineral dan air kordial. Keesokannya, konvoi bantuan memasuki wilayah Pathumthani untuk mengagihkan sumbangan.

Selain Bangkok, program korban turut dilaksanakan di wilayah Narathiwat pada Selasa 8 November. Proses penyembelihan 23 ekor lembu, memotong dan melapah dagingnya dikendalikan oleh belia kampung di sana. Proses menimbang daging lembu pula dilakukan oleh golongan para ibu di kampung tersebut. Pengagihan daging lembu disalurkan kepada penerima yang terdiri dari anak yatim, fakir miskin serta saudara baru.

Pada tahun ini, Qurban Kasih Ummah telah mengadakan korban di 17 buah negara. Pihak sekretariat turut mengadakan Ziarah Kasih Ummah ke tiga negara iaitu Thailand, Kemboja dan Vietnam untuk memantau dan menyaksikan pelaksanaan korban di sana.