BEBERAPA ISU MENGENAI IBADAT KORBAN

Muqaddimah.
Berbagai pendapat dikemukakan ulama mengenai hukum ibadat korban. Imam Abu Hanifah berpendapat ia wajib sekali setahun bagi penduduk kota yang bermukim. Kedua-dua murid Abu Hanifah iaitu Abu Yusuf dan Muhammad  berpendapat ia hanya sunat muakkad. (al-Bada`ie wa al-Sana`ie 5:62) Ulama lain daripada Abu Hanifah berpendapat amalan korban hanya sunat muakkad sahaja, bukan wajib. Pengikut Mazhab Maliki menambah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu melakukannya. (Bidayat al-Mujtahid 1:415, Mughni al-Muhtaj 4:282, al-Muhazzab 1:237, al-Mughni 8:617)

Apapun pendapat mengenai hukum ibadat ini ia merupakan satu amalan yang telah lazim dilakukan umat Islam diseluruh dunia. Berbagai hikmat dari amalan korban ini telah dihurai dan diungkapkan oleh penulis-penulis Islam dahulu dan semasa. Namun satu hakikat yang perlu diterima bahawa sejak amalan ini dilaksanakan dalam masyarakat, ia tidak memberikan impak yang jelas dalam merubah kualiti kehidupan golongan fakir miskin yang menjadi golongan sasar pengagihan daging korban. Apa yang mungkin menarik dan ada kepentingannya dibincangkan di sini ialah beberapa isu mengenai; Amalan korban dalam konteks masyarakat silang agama, memindahkan pelaksanaan korban dari satu tempat ke satu tempat lain, malah ke luar negara dan bagaimana amalan korban boleh meningkatkan status sosio ekonomi dan pendidikan golongan fakir miskin.

Tiga isu ini sangat releven dengan keadaan di Malaysia sebagai negara yang di huni oleh warga silang agama, rakyat Malaysia yang pemurah dalam menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlulan dan isu sosio ekonomi dan pendidikan golongan fakir miskin di Malaysia.

Amalan Ibadat Korban Dalam Masyarakat Silang Agama
Dalam konteks masyarakat silang agama, yang penting ialah usaha meletakkan Islam di tempat yang dapat dilihat oleh semua pihak sebagai satu sistem yang mampu memesrakan hubungan dalam kehidupan seharian. Sesuatu yang boleh menjejaskan hubungan mesra silang agama atau menimbulkan syak dan perasangka negatif terhadap Islam sebagai satu sistem mestilah dielakkan.

Melihat kepada pengamalan ibadat  korban yang dilakukan di Malaysia, pendapat yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di negara ini ialah daging korban tidak boleh diberi makan kepada orang bukan Islam. Di peringkat sebelum berlaku interaksi yang sangat rapat antara orang Islam dan bukan Islam di Malaysia, pegangan seperti ini memang tidak menimbulkan apa-apa isu, namun setelah hubungan silang agama semakin rapat dan akrab, ziarah-menziarahi silang agama semakin kerap berlaku, saling menjemput ke majlis jamuan dan kenduri kendara sudah menjadi kebiasaan, malah seorang, Islam atau bukan Islam mungkin merasakan amat sumbang dan janggal jika tidak menjemput rakan bukan Islam ke majlis yang diadakannya, terutama jiran-jiran dan rakan sekerja, pegangan seperti ini mungkin menimbulkan isu. Keadaan ini akan lebih ketara pada ibadat akikah yang pada kebiasaannya dilakukan di rumah.Yang menjadi pegangan majoriti orang Islam di Malaysia daging akikah haram diberi makan kepada orang bukan Islam. Seorang muslim akan merasa serba salah, jika tidak menjemput jiran bukan Islam di sebelah rumahnya atau tidak memberikan daging korban kepadanya memang tidak kena dan tidak manis, jika dijemput dia merasa bersalah kerana telah melanggar hukum syarak yang mengharamkan daging akikah dan korban diberi makan kepada bukan Islam. Jiran bukan Islamnya juga akan merasa tidak selesa berada di rumah dalam keadaan dia tidak dijemput. Biasanya mereka akan sengaja membuat helah untuk tidak berada di rumah pada masa majlis itu diadakan. Keadaan seperti ini sebenarnya menimbulkan satu tanggapan bahawa Islam itu tidak mesra jiran. Apakah tidak ada cara bagi umat Islam mengatasi masalah ini. Apakah tidak ada pendapat lain selain dari pendapat yang mengatakan bahawa daging korban dan akikah haram diberi makan kepada bukan Islam?.

Daging Korban dan Bukan Islam
Yang diketahui umum dan menjadi amalan orang Islam di Malaysia daging korban tidak boleh diberi makan kepada orang bukan Islam. Namun demikian merujuk kepada pendapat-pendapat yang dikemukakan ulama mazhab dalam isu ini, kita dapat mengesan berbagai-bagai pendapat dengan hujjah masing-masing. Melalui pendapat-pendapat ini umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.

Dalam kitab Kasyf al-Qina` 3;19 penulisnya menyatakan bahawa golongan Malikiyah berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang-orang Yahudi dan Nasara. Mazhah Hanbali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada orang bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.

Dalam al-Bajrimi 4:285 dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga bahawa dalam kitab al-Majmu`  disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada golongan fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Dalam al-Majmu` Syarh al-Muhazzab 8:404 disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulamak telah sepakat (ijma`) bahawa daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin orang Islam, namun mereka khilaf tentang memberi makan daging korban kepada golongan fakir miskin kafir ahli zimmah. Imam Hasan al-Basri telah memberi keringanan (rukhsah) memberikan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Di sebutkan juga bahawa Iamam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh, namun berpendapat jiuka ia dimasak ia harus diberi makan kepada mereka beserta fakir miskin Islam.

Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir 2:381 dan al-Syarbini dalam al-Iqna` 2: 581 menyebutkan mazhab Maliki berpendapat  makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang beragama Yahudi dan Nasrani. Mazhab Hanbali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi  daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus. Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla 7:383 menyatakan tuan punya korban boleh memberinya makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikat daripadanya.

Dari semua pendapat yang dinukilkan ini beberapa kesimpulan boleh dibiuat:
1.    Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada orang bukan Islam.
2.    Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.
3.    Mazhab Hanbali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.
4.    Semua ulamak mazhab sepakat (ijma`) memberi atau memberi makan daging korban atau akikah wajib kepada orang bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi`ie sahaja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada orang bukan Islam. Manakala majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.

Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat lebih baik diterima pakai dalam usaha meyakinkan masyarakat bukan Islam dapat melihat bahawa Islam itu memang satu sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara kemesraan hidup silang agama. Di samping itu menerima pakai pendapat majoriti ini juga dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak merasa bersalah kerana melanggar hukum syarak dengan memberi  atau menjemput makan daging korban atau akikah sunat. Tindakan ini diangap sebagai maslahah. Berpindah dari pendapat ulama Mazhab Syafi`ie kepada pendapat majoriti ulama atas alasan maslahat atau kekuatan hujjah bukanlah suatu keaiban, negatif atau terlarang.

Melakukan Ibadat Korban di Tempat Atau Negara Lain
Melakukan ibadat korban di tempat atau di negara lain bermaksud seseorang yang berada di satu qariah, daerah atau negeri tidak melakukan ibadat korban di tempat beliau bermukim, tetapi melakukannya di qariah, daerah atau negeri lain. Termasuk juga tidak melakukan ibadat korban di negara sendiri tetapi melakukannya di negara lain, seperti rakyat Malaysia melakukan ibadat korban di Kemboja. Ia juga boleh bermaksud ibadat korban dilakukan di tempat atau negara sendiri tetapi dagingnya dipindahkan ke tempat lain, sama ada qariah, daerah, negeri atau negara lain.

Para ulama mazhab mengemukakan pendapat, yang berbeza dalam isu ini. Dalam penulisan-penulisan mereka isu ini diberi tajuk ‘memindahkan korban ke tempat lain’. Wahbat al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami Wa Adillatu 3:633–634 merumuskan bahawa Mazhab Hanafi berpendapat, sama seperti zakat, korban makruh dipindahkan dari tempat asalnya ke tempat lain, kecuali jika pemindahan itu bertujuan untuk memberikannya kepada kaum kerabat atau mereka yang lebih memerlukan daging korban itu. Kalau dipindahkan juga ia diterima tetapi makruh. Mazhab Maliki pula berpendapat tidak harus memindahkan korban ke jarak yang melebihi jarak (masafah) yang membolehkan qasar solat, kecuali penduduk di tempat itu lebih memerlukan daging korban tersebut berbanding penduduk tempat asal yang berhak menerimanya. Dalam keadaan ini sebahagian besar daging itu hendaklah dipindahkan ke tempat mereka yang memerlukannya dan sebahagian kecilnya diagihkan di tempat asal korban itu. Ulamak Mazhab Hanbali juga sama pendapat dengan Mazhab Maliki; boleh memindahkannya ke tempat yang kurang dari jarak yang membolehkan solat qasar dan haram memindahkannya ke tempat yang melebihi jarak yang membolehkan solat qasar. Ulama Mazhab Syafi`ie mengharamkan daging korban dipindahkan ke tempat lain.

Ada beberapa perkara dapat dirumuskan dari penjelasan di atas:
1.    Semua ulama mazhab, kecuali Mazhab Syafi`ie sepakat mengharuskan korban dipindahkan ke tempat lain sekiranya penduduk di tempat itu lebih memerlukan daging korban tersebut berbanding penduduk tempat asal korban itu. Cuma Mazhab Maliki berpendapat sebahagian kecil daging itu mestilah diagihkan kepada mereka yang berhak menerimanya di tempat asal korban itu.
2.    Hanya ulama Mazhab Syafi`ie sahaja yang mengharamkan secara mutlak pemindahan korban dari tempat asalnya.

Untuk membuat pertimbangan dalam memilih salah satu daripada dua pendapat di atas, maqasid syariah (tujuan di sebalik hukum syarak) hendaklah diambil kira dan diberi keutamaan. Maqasid syariah di sebalik semua hukumnya adalah menjamin maslahah manusia. Maslahat manusia dapat dijamin dengan dua cara: pertama dengan menolak bencana dan kedua dengan menjana maslahat. Menurut kaedah syarak: menolak bencana didahulukan daripada menjana maslahat.

Dalam konteks pemindahan korban yang mungkin menjadi isu sekarang ialah memindahkan  korban dari satu negara ke negara lain. Di Malaysia telah ada institusi yang memberikan khidmat membantu rakyat Islam Malaysia yang ingin melaksanakan ibadat korban di negara lain, seperti di Kemboja dan di negara-negara minoriti Islam yang lain. Apakah amalan ini  lulus dari sudut pandangan syarak atau tidak.

Ulamak Mazhab Syafie telah tidak mengharuskannya. Ulamak mazhab lain telah mengharuskannya dengan syarat penduduk di tempat itu lebih memerlukan daging korban tersebut.

Ditinjau dari sudut maslahat dan keperluan manusia yang menjadi maqasid kepada syariat Islam pendapat ulamak selain mazhab Syafi`ie yang membolehkan korban dipindahkan ke tempat lain adalah lebih baik diterimapakai, kerana memindahkan korban ke Kemboja umpamanya, dapat   memberi lebih banyak manfaat kepada penduduk Islam di sana yang jauh lebih memerlukan daging korban itu berbanding penduduk Islam di Malaysia. Memang tidak dinafikan mungkin di Malaysia juga terdapat orang Islam yang sama miskin dengan penduduk Islam Kemboja, namun secara rawak keadan penduduk Islam di Malaysia jauh lebih baik daripada penduduk Islam di Kamboja secara amnya. Dengan penilaian ini sebenarnya tidak ada sesuatu yang meragukan dari sudut hukum syarak memindahkan korban dari tempat asalnya ke tempat lain dengan berpegang kepada pendapat majoriti ulamak mazhab, kecuali Mazhab Syafi`ie. Sekali lagi dinyatakan bahawa tiada cacat atau celanya menerima pendapat mana-mana mazhab atas dasar maslahat atau kekuatan hujjah.

Menilai Semula Fungsi Ibadat Korban.
Maksudnya menilai semula fungsi ibadat korban dalam konteks kehidupan golongan fakir miskin. Selama ini faedah yang dikecapi golongan ini daripada ibadat korban hanyalah dalam bentuk memakan dagingnya. Faedah ini hanya bertahan untuk sehari dua, paling lama seminggu. Faedah ini tidak membawa sebarang perubahan kepada taraf hidup, sosio ekonomi dan pendidikan mereka. Selepas daging korban habis dimakan kehidupan mereka tetap berada ditahap yang sama. Menilai kembali fungsi ibadat korban dalam konteks ini bermaksud memikirkan semula fungsi ibadat ini. Bolehkah ia dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi dan pendidikan golongan ini. Kalau boleh bagai mana caranya?. Adakah isu berkaitan hukum fiqh yang mungkin menghalang fungsi seperti ini dilaksanakan?. Kalau ada bolehkah hukum itu dikondisikan semula supaya dapat disesuaikan dengan reality semasa sehingga ibadat ini lebih bermakna dan bererti dalam mengubah keadaan hidup golongan ini.

Satu cara yang mungkin boleh difikirkan secara serius ialah mewujudkan satu tabung biasiswa yang sumbernya dijana daripada penjualan daging korban. Konsepnya ialah; daging korban itu tidak diagihkan kepada fakir miskin dan orang ramai, tetapi dijual, kemudian wangnya dilaburkan ke dalam institusi pelaburan yang menguntungkan, seperti Tabung Haji atau lainnya. Projek seperti ini akan menjana keuntungan yang membolehkan fakir miskin diberikan bantuan pendidikan di berbagai peringkat mengikut kemampuan tabung.

Kalau diandaikan satu karyah yang mempunyai sebuah masjid dan 20 buah surau, setiap surau menyembelih tiga ekor lembu korban dan masjid pula menyembelih 20 ekor lembu, jumlah lembu yang dikorbankan di karyah itu ialah 80 ekor. Kalau daging seekor  lembu korban boleh dijual dengan harga RM1500.00 ini bererti tahun pertama projek ini telah mempunyai modal pelaburan sebanyak RM120,000.00. Dengan keuntungan 4% setahun, selama lima tahun daging korban dijual dan dilaburkan projek ini telah dapat mengumpul lebih dari RM600,000.00. Dengan memberikan bantuan pendidikan bernilai RM30.00 sebulan kepada 10 orang pelajar miskin di sekolah rendah modal pelaburan projek ini tidak akan terjejas walau sedikitpun, malah akan terus meningkat. Pada tahun ke enam dan berikutnya bilangan mereka yang mendapat bantuan boleh ditambah, begitu juga jumlah bantuannya. Jika projek ini dapat diteruskan ia akan dapat menjana jutaan ringgit yang bukan hanya dapat membantu pelajar di peringkat sekolah rendah, malah menengah dan di peringkat pengajian tinggi. Ini hanya gambaran satu karyah, bayangkan jika projek ini merangkumi satu daerah atau satu negeri, malah negara.

Isu Hukum Yang Mungkin Ada Kaitan.
Isu hukum yang mungkin ada kaitan dengan penilaian semula fungsi ibadat korban bagi tujuan di atas ialah isu mengenai pengagihan, pemanfaatan, pemilikan dan penjualan daging korban.

Pengagihan.
Berdasarkan ayat 28 dan 36 surah al-Haj semua mazhab fiqh berpendapat daging korban hendaklah diberi makan kepada fakir miskin setelah dimasak atau diagihkan mentah-mentah. Mazhab Hanafi (al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu 3:631) menggalakkan daging korban dibahagikan kepada tiga bahagian, sebahagian untuk tuan punya korban, sebahagian lagi dihadiahkan kepada keluarga dan orang kaya dan bahagian yang ketiga disedekahkan kepada fakir miskin. Mazhab Maliki (ibid) hanya menyebut dibahagi tiga dengan tidak menentukan kadar setiap bahagian. Yang mungkin menjadi isu ialah bahagian tuan punya korban dan bahagian untuk keluarga dan orang kaya. Projek ini akan mengakibatkan tuan korban, kerabat dan orang kaya tidak akan mendapat bahagian mereka. Dengan itu kepentingan mereka terabai. Namun demikian usaha mengangkat taraf hidup golongan fakir miskin lebih penting berbanding kepentingan tuan korban, kerabat dan orang kaya. Lebih baik dan lebih mendatangkan faedah daging itu diberikan kesemuanya kepada mereka melalui skim bantuan yang dihasilkan oleh projek ini. Kepentingan tuan korban, keluarga dan orang kaya tidak sedikitpun akan terjejas sekiranya tidak menerima bahagian mereka. Mungkin timbul isu pengagihan daging korban sebagai satu pemangkin kepada silaturahim dalam masyarakat. Namun jika dibandingkan kepentingan mengangkat taraf kehidupan golongan fakir miskin dengan kepentingan memperirat silatulrahim melalui ibadat korban ternyata kepentingan mengangkat taraf hidup golongan miskin lebih utama. Banyak cara lain selain mengagihkan daging korban untuk mengiratkan silatulrahim. Tidak mengambil bahagian dan menyerahkannya kepada fakir miskin merupakan satu bentuk pengorbanan lain.

Pemanafatan dan pemilikan.
Penulisan ulamak mazhab menunjukkan bahawa orang kaya hanya layak memanafaatkan daging korban dengan memakannya. Mereka tidak berhak memiliknya. Oleh itu mereka tidak berhak menjualnya. Golongan fakir miskin pula berhak memilikinya. Oleh itu mereka berhak menjualnya dan menggunakan wang hasil jualan untuk kegunaan lain. Dalam Mughni sl-Muhtaj 4;290 dan al-Muhazzab 1:240 dinyatakan bahawa tuan punya korban boleh memberi makan daging korban kepada orang kaya, tidak memberi milik kepada mereka sekalipun sedikit, ia dihantarkan kepada mereka sebagai hadiah, mereka tidak berhak melakukan sebarang transaksi ke atasnya dengan menjual atau lainnya. Dalam al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu 3;634 dijelaskan bahawa orang kaya boleh memanfaatkan daging korban dengan memakannya bukan memilikinya.

Pada hakikatnya pendapat yang mengkhususkan pemilikan daging korban kepada golongan fakir miskan membantu memudahkan projek ini dilaksanakan, kerana mereka memang berhak memilikinya, cuma pengubahsuaian perlu dilakukan dengan meminta kepada mereka supaya daging itu tidak diagihkan dalam bentuk yang biasa dilakukan, tetapi ia dijual dan dilaburkan terlebih dahulu kemudian mereka akan menerimanya dalam bentuk bantuan pendidikan yang boleh menaiktaraf kehidupan mereka. Mungkin sekali lagi timbul isu hak orang kaya dalam memanafaatkan daging korban. Seperti di atas golongan ini diminta memberikan hak mereka kepada golongan fakir miskin, kerana mereka sebenarnya tidak memerlukan daging tersebut.

Penjualan daging korban.
Penulisan-penulisan ulamak mazham menjelaskan yang tidak berhak menjual daging korban, kulit, bulu dan lemaknya ialah pemilik korban itu sendiri. Dalam al-Muhalla 7: 385 Ibn Hazmin menyatakan yang berkorban tidak harus menjual sedikitpun dari binatang korbannya. Perkara yang sama disebut dalam al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu 3:632. orang kaya hanya layak memanfaatkannya dengan memakannya, mereka tidak berhak memilikinya, oleh itu mereka tidak berhak menjualnya. Golongan fakir miskin berhak menjualnya kerana mereka berhak memilikinya. Oleh itu projek menjual daging korban bagi pihak fakir miskin dan melaburkannya adalah sesuatu yang tidak bertentangan dengan mana-mana pendapat ulamak mazhab. Ia boleh dilaksanakan.

Kesedaran Masyarakat.
Umat Islam perlu difahamkan tentang tiga isu yang dikemukakan supaya mereka tidak ragu-ragu melakukannya demi kebaikan Islam, umat Islam dan kehidupan dalam masyarakat silang agama. Masyarakat perlu diberi kesedaran tentang kebaikan dan faedah projek menjual dan melaburkan daging korban dalam usaha meningkatkan mutu kehidupan golongan fakir miskin. Dalam perebutan sengit untuk mendapatkan berbagai bentuk biasiswa dan pinjaman pendidikan daripada berbagai-bagai institusi golongan fakir miskin sepatutnya memiliki  sumper yang tersendiri yang khusus untuk mereka di samping sumber zakat yang telah lama wujud. Malah projek ini mungkin boleh menjadi pemangkin dan penggalak kepada masyarakat untuk melakukan ibadat korban kerana mereka dapat melihat kesan baiknya dalam masyarakat di karyah mereka sendiri.

Institusi Amanah Berwibawa.
Supaya urusan tabung ini dapat ditadbir dan diurus dengan sempurna, dapat menjana keuntungan, jauh daripada penyelewengan dan mendapat kepercayaan umum, sebuah institusi yang beramanah dan berwibawa perlu diwujudkan. Pentadbir dan pengurusnya mestilah terdiri daripada golongan yang kerkelayakan, tidak berkepentingan dan ikhlas.

Kesimpulan.
Melakukan korban di tempat lain atau memidahkan dagingnya ke tempat lain adalah dibenarkan mengikut pendapat majoriti ulamak mazhab, kecuali Mazhab Syafie. Pendapat majoriti ulamak lebih sesuai diterima pakai bagi tujuan meningkatkan manfaat ibadat korban dan membantu mereka yang sangat memerlukannya.

Hanya ulamak Mazhab Syafie yang tidak mengharuskan daging korban dan akikah sunat diberi atau diberi makan kepada orang bukan Islam. Majoriti ulamak mengharuskannya. Dalam konteks Malaysia sebagai negara yang rakyatnya terdiri dari berbilang kaum dan agama pendapat majoriti ulamak sangat sesuai diterima pakai bagi tujuan melekakkan Islam dikedudukan yang sepatutnya pada pandangan orang bukan Islam di samping dapat menghidupkan kemesraan pergaulan silang agama antara muslim dan bukan muslim.

Sangat patut dan penting dinilai semula fungsi ibadat korban supaya ia dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf hidup golongan fakir miskin dengan mengagihkannya semula kepada mereka dalam bentuk bantuan pendidikan setelah melalui program menjual dan melaburkannya.

Dengan ini ibadat korban lebih membawa erti kepada masyarakat  berbanding manfaat yang diperolihi dengan mengagih dan memakannya seperti yang diamalkan sekarang..

Disediakan oleh:
Ustaz Alias Othman
Penasihat Syariah
Pertubuhan IKRAM Malaysia (dahulu dikenali sebagai JIM)

Harian Metro: MyKorban sasar RM1.6 juta

 

Kuala Lumpur: Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), menyasarkan kutipan RM1.6 juta untuk melaksanakan ibadat korban, MyKorban di 14 negara bergolak seluruh dunia pada Hari Raya Aidiladha 1 hingga 4 September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, fokus sasaran penerima daging korban sumbangan peserta negara ini adalah dalam kalangan umat Islam minoriti yang ditindas dan pelarian.

Menurutnya, 14 negara berkenaan adalah Malaysia, Bangladesh, Filipina, Iraq, Kemboja, Lubnan, Myanmar, Palestin, Somalia, Sri Lanka, Sudan, Syria, Vietnam dan Myanmar.

“Program MyKorban yang memasuki tahun ke 19 pelaksanaannya ini menawarkan dua pakej korban lembu dan empat pakej korban kambing.

“Bagi korban lembu, Pakej A berharga RM1,500 (satu bahagian) untuk umat Islam di Palestin, Syria, Iraq, Lubnan dan Yaman, manakala bagi Pakej B berharga RM480 (satu bahagian) untuk ibadat korban di pelbagai lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program MyKorban anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) yang diuruskan MyCARE di pejabat MyCARE, semalam.

Untuk maklumat lanjut dan sumbangan program MyKorban, orang ramai boleh menyemak di www.mykorban.org atau hubungi 019-2276760.

Bayaran pula boleh dibuat ke akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad di nombor akaun 5642 5856 0698 (Maybank) atau 8602 135 592 (CIMB) dan 1209 2010 0349 04 (Bank Islam).

 

Rizanizam Abdul Hamid

MyKorban : Pengumuman Penting

1. Mulai tahun 2017, program Akikah dan Korban yang dianjurkan oleh Pertubuhan Ikram Malaysia akan dijenamakan semula sebagai “MyKorban”. Dengan itu, penggunaan nama Qurban Kasih Ummah akan ditamatkan.

2. Bagi tahun 2017, sekali lagi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) telah dilantik untuk menguruskan program akikah dan korban untuk MyKorban. Untuk pertanyaan dan penyertaan program akikah sepanjang tahun, boleh berhubung ke Ibu Pejabat MyCARE;

 

No.9, Jalan Dagang SB 4/1,
Taman Sungai Besi Indah,
43000 Seri Kembangan,
Selangor, Malaysia.

(Tel : 03-8941 2341 – untuk perhatian En. Amir atau Abdul Hafidz)

 

3. Bagi program akikah yang dilaksanakan sepanjang tahun, hanya pakej berikut sahaja yang akan diuruskan;

i. Akikah Kambing : RM590 seekor
ii. Akikah Lembu : RM480.00 satu bahagian

(perlaksanaan akikah lembu hanya akan dibuat apabila bilangan bahagian sudah cukup untuk seekor lembu)

 

Oleh itu, selepas selesai sesuatu musim korban, pakej-pakej yang ditawarkan untuk korban tahun tersebut adalah tamat dengan sendirinya

 

Sekian untuk makluman.